PADA usia 60, 80 atau mungkin 100 tahun, wanita generasi warga emas Karateka di Korogocho gigih mempelajari seni mempertahankan diri sebagai langkah berjaga-jaga dalam meneruskan kehidupan di salah sebuah pekan paling berbahaya di Kenya itu.Terletak kira-kira 12 kilometer dari ibu negara Kenya, Nairobi, kira-kira 155,000 penduduk Korogocho terpaksa hidup sesak di kawasan penempatan bersaiz kurang dua kilometer persegi.
Kebanyakan generasi muda meneruskan hidup dengan mengais sisa makanan yang boleh ditemui di kawasan pembuangan sampah gergasi, Dandora.
Meskipun ketika bersiar-siar di jalan utama pada waktu siang atau ketika beratur mendapatkan bekalan air di pam utama, mempunyai risiko tersendiri.
Jadi di daerah tandus dengan binaan batu-bata lumpur dan besi lebur berkarat ini, kehadiran Persatuan Streams of Hope and Peace (Sungai harapan dan keamanan) umpama syurga yang menawarkan ketenangan dan keyakinan.
Dengan hanya berbumbungkan plastik yang melindungi daripada sinaran matahari terik dan tiang besi buruk yang dicat warna-warna ceria, rumah persatuan itu memberi secebis harapan kepada ahli-ahlinya.
Kelihatan kira-kira 20 wanita warga emas berkaki ayam sambil berpakaian usang dan menutup kepala, duduk dalam bulatan di atas tikar buruk di pusat itu.
Mereka melaungkan kata-kata semangat menggalakkan seorang rakan yang sedang menyerang karung tinju dengan bersungguh-sungguh.
Tumbukan wanita itu kurang kuat, tetapi menurut guru wanita-wanita terbabit, Sheila Kariuki,kekuatan bukanlah perkara paling penting dalam mempertahankan diri.
“Tidak perlu pukul dengan kuat untuk memastikan pukulan itu mengena,” kata Kariuki yang baru berusia 29 tahun.
“Ketepatan adalah kunci teknik ini,” ujarnya sambil menunjukkan demonstrasi titik lemah pada seorang lelaki muda yang menjadi ‘tikus ujian’ untuk kelas berkenaan iaitu, hidung, dagu, tulang selangka dan alat sulit.
Kumpulan mempertahankan diri itu bermula pada tahun 2007 sebagai langkah serangan semula terhadap kumpulan samseng di Korogocho yang menyerang dan merogol wanita tiga atau empat kali ganda usia mereka.
“Lelaki muda percaya bahawa wanita- wanita lebih muda semuanya dijangkiti Aids, jadi mereka sanggup merogol wanita tua kerana tahu golongan ini tidak mempunyai pasangan lagi.”
‘Bintang’ utama persatuan istimewa ini adalah Gladys Wanjiku, yang mendakwa sudah berusia 100 tahun – tetapi sungguh mengejutkan apabila melihatnya menumbuk karung tinju dengan pukulan kuat dan berkeyakinan.
“Jika ada lelaki dengan niat jahat cuba merapati, saya akan menumbuknya,” kata Wanjiku,” tersenyum yakin.
Dia juga bernasib baik kerana sehingga kini masih belum bertembung dengan mana-mana penjahat.
“Saya sentiasa berdoa agar mereka tidak datang. Tapi jika ada penjahat cuba merogol, sekarang saya tahu bagaimana hendak menyerang kembali,” katanya.
Sementara itu, Kariuki yang mewujudkan kelas secara sukarela pernah dilatih oleh seorang wanita Amerika mengenai teknik mempertahankan diri.
Kini, beliau pula mengajar pelajar-pelajar veterannya seni mempertahan diri yang menggabungkan karate, kungfu dan taekwando.
Kumpulan yang tidak mempunyai dana apatah lagi sumbangan, berkumpul seminggu sekali dalam sebuah bilik disediakan oleh sebuah badan kebajikan. Satu lagi kelas disediakan untuk wanita muda di bawah 30 tahun.
“Saya ajar mereka memekik yang berbeza dengan menjerit. Bila anda memekik, anda lebih terkawal, tenang dan memberitahu dunia yang anda tidak mahu diganggu.
“Polis ada membantu mangsa, tetapi jumlah mereka terlalu sedikit jadi wanita-wanita ini mengambil inisiatif untuk mempertahankan diri sendiri, ” tambahnya. “
No comments:
Post a Comment