Blogger Widgets

salam

Saturday, 9 June 2012

BAHAYA BAYI YANG TIDUR DENGAN LAMPU MENYALA


Anak-anak yang tidur dengan lampu menyala akan berisiko mengidap leukemia. Para ilmuwan menyatakan bahawa tubuh perlu suasana gelap untuk menghasilkan bahan kimia bagi melawan kanser. Bahkan ketika menyalakan lampu tandas, lampu tidur, lampu-lampu jalanan dan sebagainya dapat menghentikan penghasilan bahan melatonin.
Tubuh memerlukan bahan kimia untuk mencegah kerosakan DNA dan ketiadaan bahan melatonin tersebut akan menghentikan asid lemak menjadi tumor dan mencegah pertumbuhannya.
Prof. Russle Reiter dari Texas University yang memimpin penelitian tersebut mengatakan “Sekali anda tidur dan tidak mematikan lampu selama 1 minit, otak anda segera mengesan bahawa lampu menyala seharian dan penghasilan bahan melatonin menurun”.
Jumlah anak-anak yang mengidap leukimia meningkat dua kali ganda dalam kurun 40 tahun terakhir. Sekitar 500 anak muda dibawah 15 tahun didiagnosis menderita penyakit ini setiap tahun dan sekitar 100 orang meninggal.
Sebuah persidangan berkaitan tentang anak penderita leukimia diadakan di London menyatakan bahawa mereka menderita kanser akibat terlalu lama memasang lampu waktu tidur di malam hari berbanding dengan yang tidak pernah memakai lampu waktu tidur.
Hal ini menekan penghasilan melatonin di mana secara normalnya terjadi antara jam 9 malam s/d jam 8 pagi. Penelitian terdahulu telah menunjukkan bahawa orang-orang yang paling mudah diserang adalah para pekerja shif yang memiliki risiko terkena kanser payudara.
Pada kenyataannya, Orang-orang buta tidak terdedah terhadap melatonin dan memiliki risiko yang lebih rendah untuk mengidap kanser. Maka para ibu bapa disarankan untuk menggunakan lampu tidur yang suram berwarna merah atau kuning jika anak-anaknya takut pada kegelapan.
Wallahu’alam

VIDEO KISAH 'APRIL FOOL' YANG MENYEBABKAN KEMATIAN SEBENAR


ANDA MAHU KEJADIAN SEBEGINI TERJADI PADA ANDA..?? INILAH ALASANNYA KENAPA ANDA TIDAK DIBENARKAN 'MENGENAKAN' (PRANK) ORANG PADA 1st APRIL
BENDA YANG KITA SANGKA UNTUK BERGURAU KADANG KALA,SEBALIKNYA AKAN MENJADI REALITI.
DALAM ISLAM JUGA MENGHARAMKAN UMAT ISLAM MENYAMBUT    
'APRIL FOOL"

-BOYIDZUAIN-

HIKMAH BERPRASANGKA BAIK KEPADA MANUSIA



ISLAM merupakan agama rahmat untuk seluruh manusia tanpa mengira agama, latar belakang dan keturunan, kaum dan puak, bangsa, warna kulit dan sebagainya. Sesungguhnya, Allah Taala telah berfirman dalam Surah Asy-Syu'ara ayat 196 yang bermaksud, "Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam".

Daripada keterangan ayat Allah Taala itu, kita jelas dan dapat memahami bahawa Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah Taala untuk memberi petunjuk, belas kasihan, rahmat dan kasih sayang untuk sekalian umat manusia. Dalam konteks rahmat yang cukup luas ini, Rasulullah SAW selalu menyeru umat Islam supaya 'Husnul Dzon' atau terjemahan bahasa Arabnya kepada bahasa yang boleh kita fahami adalah berprasangka baik kepada semua manusia dalam segenap urusan, hal dan pekerjaan yang kita lakukan dalam seharian.

Mengikut firman Allah Taala dalam Surah At-Tin ayat 4 yang bermaksud, "Sesungguhnya kami (Allah) telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."

Melalui keterangan ayat Allah Taala ini cukup jelas menyatakan bahawa manusia ini adalah sebaik-baik ciptaan, suci dan bersih seperti mana ungkapan yang selalu kita dengar suci ibarat 'bayi yang baru dilahirkan daripada rahim ibunya'. Apa yang menjadi cemar dan kotor di sini adalah perbuatan salah dan melanggari syariat agama Islam yang dilakukan oleh manusia itu sendiri.

Pada hakikatnya, semua manusia itu suci dan bersih, perbuatan yang dilakukannya itu disifatkan cemar dan kotor. Maka, Islam telah menggariskan panduan bahawa kita tidak boleh membenci seseorang manusia itu kerana zahir luaran dan bentuk fizikalnya, kita diharuskan membenci perbuatan salah dan melanggari syariat yang dilakukannya.

Melalui penjelasan dan keterangan yang lain pula, Islam tidak sama sekali menyuruh kita membenci si pelaku dosa, sebaliknya Islam menyuruh kita bersangka baik kepadanya dan menyeru serta mendidiknya kepada jalan dan kaedah yang terbaik dan benar mengikut lunas al-Quran dan al-Hadis.

Hal ini kerana tiada 'tiket' dalam Islam yang memberikan kita hak mencaci, memaki- hamun, mengherdik dan merendah-rendahkan martabat manusia akibat perbuatan salah dan dosa yang dilakukanya atas nama agama.

Islam hanya menyuruh umatnya melakukan kebaikan semata-mata, dan tidak sama sekali menyuruh umatnya mempalitkan serta menyelitkan unsur keburukan dan penjanaan sifat negatif itu 'dihalalkan' dalam aspek kebaikan.

Sesuailah dengan firman Allah Taala dalam Surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud, "Tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan takwa dan jangan tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan."

Dalam konteks bersangka baik kepada manusia, kita berkonsepkan Amal Makruf Nahi Mungkar. Ia bermaksud kita mempraktikkan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Rasulullah SAW selalu menasihati kita supaya mencegah kemungkaran hanya setakat pandangan mata kasar kita saja.

Kita tidak boleh sesekali mengintip dan mencari-cari salah laku, keaiban dan kemungkaran yang dilakukan oleh manusia dan sesungguhnya perbuatan ini amatlah ditegah dalam Islam.

Prasangka baik kita yakni pemikiran positif kita dalam melihat kepelbagaian corak tingkah laku dan perangai manusia melalui sudut tanggapan dan perspektif positif tidak akan tercapai sama sekali jika prasangka buruk itu didahulukan.

Islam bukanlah sebuah agama yang mengajar umatnya tajassus (mengintip), menjaga tepi kain orang atau mengintip aib, perbuatan yang memalukan dan salah laku orang lain.

Islam menyuruh kita mencegah perkara maksiat yang nampak terang dan jelas zahirnya di hadapan mata kasar saja dengan menasihati atau menegur terlebih dahulu dengan cara berhikmah dan bijaksana, bukan terus menghukum tanpa mendidik.

Islam tidak menyuruh kita mengintip kesalahan atau aib orang sehingga ke dalam rumah. Jika seseorang itu telah melakukan maksiat sekali pun (secara terbuka atau tertutup), kita mesti membendung dan menutup aib maksiat yang telah dilakukan olehnya daripada diketahui oleh orang lain.

Sebaik-baik hal adalah menutup keburukan orang lain, bukan menjaja cerita perihal hal buruknya kononnya ingin dijadikan sebagai pengajaran buat kita semua. Ini cara yang tidak 'bermoral'. Dan jangan pula kita mendedahkan aib kita sendiri kerana sesungguhnya orang yang waras akan mengunci rapat keaiban dirinya sendiri. Maka, di sinilah peranan mendahulukan bersangka baik kepada manusia memainkan peranan paling utama.

Dr. Yusuf Al-Qaradawi sendiri menyatakan dalam kitabnya Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, tiada seorang pun mempunyai hak sewenang-wenangnya untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyi. Terutamanya maksiat hati seperti riak, kemunafikan, kesombongan, dengki, kikir dan lain- lainnya.

Sekalipun agama menganggapnya sebagai dosa besar, namun tidak dibantah selagi tidak zahir dalam bentuk amalan. Sebabnya ialah kita diperintahkan untuk menghakimi manusia apa yang kita nampak. Ada pun hal-hal yang tersembunyi kita serahkan kepada Allah Taala.

Bertepatan dengan firman Allah Taala dalam Surah Al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani".

Beginilah keindahan dalam agama Islam. Islam mengajak manusia 'memasuki' dan menghayati ajarannya dengan cara yang baik dan mulia, begitu juga Islam mengajak manusia mencegah perkara mungkar dengan cara baik dan mulia juga.

Dan cara untuk memperolehi keindahan dalam agama Islam itu tidak lain hanya melalui prasangka baik dan positif kita terhadap manusia bertunjangkan dua panduan utama, al-Quran dan hadis. Baiknya sangkaan positif kita itu kepada manusia, maka baiklah keadaan dan situasi orang sekeliling dalam hidup kita.

Pemikiran minda yang sihat dan selalu positif sebeginilah akan menjadikan masyarakat dunia secara keseluruhannya aman, makmur dan sejahtera.

JUBAH UNTUK IBU

“Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak menyusahkan aku?”, marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak menjawab sepatah apapun. “Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah dua kali kau ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut macam Angah dengan Alang tu.. Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang hah?”, leter ibu lagi.

Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Seketika dia melihat si ibu berlalu pergi dan kembali semula dengan rotan di tangannya. Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu. “Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!” Jerkah ibu. Along semakin berdebar-debar namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin bengang. “ Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti kau, suka sangat cari penyakitkan, sekarang nah, rasakan!” Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah Along menjerit kesakitan.
“Sakit bu…sakit….maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi….Bu, jangan pukul bu…sakit bu…” Along meraung meminta belas si ibu agar tidak merotannya lagi. “Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?” Balas ibu lagi. Kali ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along yang kurus itu. “Bu…ampunkan Along bu…bukan Along yang mulakan…bukan Along….bu, sakit bu..!!”, rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih. Along memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun siratan rotan tetap mengenai tubuhnya. Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih memaut kakinya itu di tepis kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu. Along memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya menangis lagi kerananya.
Malam itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak dapat dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi. Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat menjeling ibu di sebelah.
Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang. Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini. Along mengesat sisa-sisa air mata yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini. Along merebahkan badannya. Dia cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di wajah tua itu.
Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along sedar, dia telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat keputusan yang corot dalam SPM. Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu tidak semekar dahulu lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan, Along terlelap juga.
Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang ibu yang terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian mencacap makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu. Namun, belum sempat dia melangkah ke dapur, adik perempuannya yang baru pulang daripada mengaji terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil memerhatikan mereka.
“ Ibu…ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?” Tanya Atih kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang lincah menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu. Sementara Along disebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang telinganya. “Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?” “ Eh jangan, nanti dulu… Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik atas mandi dan tukar baju dulu ye!”, si ibu bersuara lembut. Along menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. ‘anak-anak kesayangan ibu nak balik rupanya…’ bisik hati kecil Along.
“Kak Ngah dengan Alang nak balik ke ibu?”, soalnya lagi masih belum berganjak dari dapur. Si ibu mengangguk sambil tersenyum. Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan. “Oooo patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along balik, ibu tak masak macam ni pun?”. Along terkejut mendengar soalan Atih. Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya. “Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk asrama, balik pun sebulan sekali ja!”, terang si ibu. “Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni dekat Along pun..”, soal Atih lagi. Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan.
Along mula terasa sebak. Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada perasaan dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat disayanginya. “Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang dekat stesen bas.” , arah ibu. Dia tidak mahu Atih mengganggu kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu juga tidak senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along anak yang derhaka yang selalu menyakiti hatinya. Apa yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin hilang perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.
Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat Bandar sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai, kakinya tiba-tiba berhenti melangkah. Matanya terpaku pada sepasang jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung bermanik. ‘Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni….’ Dia bermonolog sendiri. Along melangkah masuk ke dalam kedai itu. Sedang dia membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia segera menoleh.
Rupa-rupanya itu Fariz, sahabatnya. “La…kau ke, apa kau buat kat sini?”, tanya Along ingin tahu sambil bersalaman dengan Fariz. “Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat sini?”, soalnya pula. “Aku tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak kasi mak aku!”, jelas Along jujur. “waa…bagus la kau ni Azam. Kalau kau nak beli aku bagi less 50%. Macammana?” Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu.. “Betul ke ni Riz? Nanti marah kakak kau!”, Along meminta kepastian. “Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti bagi punya!”, balas Fariz meyakinkannya. “Tapi aku kena beli minggu depan la.. Aku tak cukup duit sekarang ni.” Cerita Along agak keseganan.
Fariz hanya menepuk mahunya sambil tersenyum. “Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar sikit-sikit.” Kata Fariz . Along hanya menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi. “Dekat kau ada berapa ringgit sekarang ni?”, soal Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya itu. Along menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitam yang semakin lusuh itu. “Tak sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang beli minggu depan. Kau jangan jual dulu baju ni tau!”, pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk senyum.
Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang rancak berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah mereka seketika kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang dari sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan diselak. Syukur masih ada sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas meja. Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei, kucing kesayangan arwah ayahnya.
“Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?”, soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba membantutkannya daripada menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan. “Kenapa tak makan kat luar ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah!”, leter ibu lagi. Along hanya diam.. Dia terus berusaha mengukir senyum dan membuat muka selamber seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi ibu yang masih memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati. “Along ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati.
Kerana Along, ibu kena marah dengan pengetua tu.” Marah Angah, adik perempuannya yang sedang belajar di MRSM. Along mendiamkan diri. Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab kata-kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ, dia mengambil jalan untuk membisu sahaja. “Along! Kalau tak suka belajar, berhenti je la. Buat je kerja lain yang berfaedah daripada menghabiskan duit ibu”, sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di sekolah berasrama penuh. Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin terluka melihat sikap mereka semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka. Along mengangkat mukanya memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia segera mencuci tangan dan meluru ke biliknya.
Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru. Hatinya pula jadi tidak keruan memikirkan kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan semakin membencinya. Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar. Kebetulan cuti sekolah selama seminggu bermula esok. Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Along terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi pakaian, Along keluar daripada rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si ibu menyatakan bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di hutan selama seminggu.
Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan selama beberapa hari justeru dia terpaksa berbohong agar ibu tidak bimbang dengan tindakannya itu. Along menunggang motorsikalnya terus ke Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya, tengah hari itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel membaiki motorsikal dengan upah lima belas ringgit sehari, dia sudah rasa bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat membeli jubah untuk ibu. Hari ini hari ke empat Along keluar daripada rumah. Si ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga berasa agak rindu dengan Along. Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh setiap kali terpandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan itu terubat apabila melihat gurau senda anak-anaknya yang lain.
Seperti selalu, Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sikap Abang Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya menumpangkan Along di rumahnya dengan percuma. “Azam, kalau aku tanya kau jangan marah k!”, soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi bungkus tengah hari itu. “Macam serius jer bunyinya Abang Joe?” Along kehairanan. “Sebenarnya, kau lari dari rumah kan ?”
Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap ke dalam mulut tersembur keluar. Matanya juga kemerah-merahan menahan sedakan. Melihat keadaan Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air. “Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?” Tanya Abang Joe lagi cuba menduga. Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan. Dia cuba menundukkan mukanya cuba menahan perasaan sedih. “Azam, kau ada cita-cita tak…ataupun impian ker…?” Abang Joe mengubah topik setelah melihat reaksi Along yang kurang selesa dengan soalannya tadi. “ Ada ” jawab Along pendek.
“Kau nak jadi apa besar nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam aku…atau….” Along menggeleng-gelengka n kepala. “semua tak…Cuma satu je, saya nak mati dalam pangkuan ibu saya.” Jawab Along disusuli ketawanya. Abang Joe melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab soalannya itu. “ Ala , gurau ja la Abang Joe. Sebenarnya….saya nak bawa ibu saya ke Mekah dan…saya….saya nak jadi anak yang soleh!”. Perlahan sahaja suaranya namun masih jelas didengari telinga Abang Joe. Abang Joe tersenyum mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang anak yang begitu baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum pernah ada cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah..
Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja masing-masing. Tidak seperti selalu, petang itu Along kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi. “Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah …terima kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni”, ucap Along sewaktu selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak muda itu mahu pulang ke pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh sasa itu.
Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak. “Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya tinggal kat rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe.” Kata Along lagi. “Tapi, kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?”, soal Abang Joe. Dia risau kalau-kalau Along menyalah anggap tentang soalannya tadi. Along hanya senyum memandangnya. “Tak apa, saya bagi kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya rasa tak mampu nak balas budi baik abang.. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni semakin maju.” Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai seorang abang memeluk adiknya yang akan pergi jauh.
Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli jubah yang diidamkannya itu. Setibanya di sana , tanpa berlengah dia terus ke tempat di mana baju itu disangkut. “ Hey Azam, mana kau pergi? Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari rumah ke?”, soal Fariz setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu. Along hanya tersengeh menampakkan giginya. “Zam, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kau tumbuk si Malik tu?” “Tak pe lah, perkara dah berlalu….lagipun, aku tak nak ibu aku terasa hati kalau dia dengar tentang perkara ni”, terang Along dengan tenang.
“Kau jadi mangsa. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah”, kata Fariz lagi. “Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak kisah.” “Zam..kau ni…..” “Aku ok, lagipun aku sayang dekat ibu aku. Aku tak nak dia sedih dan ingat kisah lama tu.” Jelas Along memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati itu. “Aku nak beli jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni sekali, k!”, pinta Along sambil menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu. “No problem…tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ke?” , soal Fariz ingin tahu. “Aku kerja kat bengkel Abang Joe. Jadi pembantu dia”, terang Along. “Abang Joe mana ni?” “Yang buka bengkel motor kat Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu!”, jelas Along dengan panjang lebar. Fariz mengangguk . “Azam, kau nak bagi hadiah ni kat mak kau bila?” “Hari ni la…” balas Along. “Ooo hari lahir ibu kau hari ni ek?” “Bukan, minggu depan…” “Habis?. Kenapa kau tak tunggu minggu depan je?”, soal Fariz lagi. “Aku rasa hari ni je yang yang sempat untuk aku bagi hadiah ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah aku lagi.” Jawabnya sambil mengukir senyum.
Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima hadiahnya itu. Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing hilang kawalan dan terus merempuh Along dari depan yang tidak sempat mengelak.
Akibat perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi keledar yang dipakai mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya, Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu dan dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang terburai dari kotak itu. Darah semakin membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam keparahan itu, Along melihat kelibat orang–orang yang sangat dikenalinya sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul seorang wanita. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali apabila dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada ibunya. Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba menghulurkan jubah dan kad yang masih digenggamannya itu.
“Ha..hadiah….untuk….ibu………” ucapnya sambil berusaha mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Si ibu begitu sebak dan sedih. Si anak dipeluknya sambil dicium berkali-kali. Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan lagi. Pandangan Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya.
Selesai upacara pengebumian, si ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama Angah, Alang dan Atih. Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang hampir relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok darah yang kering dibukanya lalu dibaca.
Buat ibu yang sangat dikasihi,
Ampunkanlah salah silap along selama ini. Andai along melukakan hati ibu, along pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf along bu.. Along janji tak kan membuatkan ibu marah lagi.
Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu… dan terimalah hadiah ini…
UNTUKMU IBU!
Kad itu dilipat dan dicium. Air mata yang bermanik mula berjurai membasahi pipi. Begitu juga perasaan yang dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian seorang abang yang selama ini disisihkan. Sedang melayani perasaan masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati wanita tua itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini.
“Makcik, ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat kami. Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air dekat lukisan Azam. Lepas tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa Azam seorang pembunuh dan … dia jugak cakap, ibunya seorang perempuan gila…” cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana kesalahan menumbuk Malik. “Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik Fariz?” Soalnya dengan sedu sedan. “Sebab…..dia tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa dulu. Dia cakap, dia tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua ketenangan yang makcik ada sekarang…walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi dia tak sanggup tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula….” Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi pihak sahabatnya itu.
Si ibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Terasa seluruh anggota badannya menjadi Lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap derhaka.

PETUA UNTUK BERHENTI BERDENGKUR



APABILA sebut pasal tidur, kita mesti terbayang waktu untuk merehatkan otak dan badan lepas penat bekerja. Namun, bolehkah tidur lena kalau pasangan kita atau rakan serumah berdengkur?

Ada kala kita juga tidak tahu, mungkin selama ini bunyi dengkur diri sendiri yang macam enjin ‘turbo’ itu mengganggu tidur orang lain. 

Punca dengkur ini bukan sebab penat terlampau yang macam kita selalu fikirkan. Dengkur terjadi disebabkan ada halangan pada saluran pernafasan, juga mungkin kerana posisi tidur yang salah, pengumpulan lemak sekitar muka atau leher dan mungkin juga faktor habuk atau alahan.

Pengaliran udara melalui saluran pernafasan yang sempit ini mengakibatkan lelangit lembut (bahagian tekak) bergetar. Getaran inilah yang menghasilkan bunyi yang kita dengar sebagai dengkur.

Daripada terus mengganggu tidur orang lain, apa kata kita cuba kurangkan masalah itu. Tidaklah segan sangat nanti apabila terpaksa menumpang dekat rumah orang. Jangan pula disebabkan dengkuran berkuasa ‘turbo’, tuan rumah yang tak boleh tidur.


Cara atasi masalah berdengkur 
  • Ubah posisi tidur 

    Apabila lidah, lelangit, tonsil atau otot di belakang kerongkong saling bersentuhan, ia akan menyebabkan kita berdengkur.

    Posisi terlentang ketika tidur menyumbang ke arah masalah ini kerana ketika kita terlentang, lidah tertarik ke belakang dan menyempitkan aliran udara. Untuk mengelakkan masalah ini, cuba tidur mengiring. Mengiring ke kanan lebih afdal. 

  • Turunkan berat badan 

    Orang yang mempunyai berat badan berlebihan memiliki jaringan leher yang tebal dan ini berkemungkinan menyebabkan risiko berdengkur.

    Jadi, langkah terbaik ialah cuba kurangkan berat badan anda supaya lemak yang terkumpul di bahagian kerongkong turut berkurangan. 


  • Hindari ubat penenang atau sedatif 

    Apa pun jenis penenang, sama ada pil tidur dan apa saja produk ubatan bertujuan menenangkan, boleh menyebabkan dengkur kerana ia mengganggu sistem saraf, seterusnya menyebabkan rehat keterlaluan kepada otot dan tisu dalam kerongkong. 
  • Hidu wap air sebelum tidur 

    Hidung tersumbat juga satu daripada punca berdengkur. Sebelum tidur, hidu wap air panas atau letakkan tuala yang dicelup dengan air panas pada muka dan sedut wapnya. Ini adalah satu cara untuk menghilangkan lendir yang menyumbat hidung kita. Bila lendir hilang, kemungkinan untuk berdengkur berkurangan. 
  • Habuk 

    Habuk atau alahan boleh jadi punca kita berdengkur kerana masalah sukar bernafas. Pastikan cadar dan sarung bantal bersih daripada habuk dan hama. Untuk yang berkemampuan, pasang penapis udara supaya kita mendapat bekalan udara bersih.




  • SUMBER METRO

    TANAH LIAT PANGGANG


    BIARPUN tidak mempunyai rasa, ampo yang rangup menjadi makanan warga Tuban, Indonesia.

    JIKA tidak diberitahu terlebih dahulu, pasti ramai yang menyangka bahawa hidangan di dalam pinggan itu merupakan kepingan coklat gelap yang digulung.
    Sebenarnya, makanan yang hanya popular di sebuah desa di Tuban, Jawa Timur, Indonesia itu diperbuat daripada tanah liat.
    "Orang Tuban sahaja yang memakan tanah yang disebut ampo ini," kata seorang penjual ampo yang dikenali sebagai Rasima.
    Jelas Rasima, ampo dipercayai mampu menghilangkan rasa sakit malah menjadi ubat untuk pelbagai jenis penyakit. Ia merupakan makanan turun-temurun warga kampung tersebut.
    Cara membuat snek itu tidak terlalu sukar kerana tiada resipi khas mengenainya. Untuk membuatnya hanya memerlukan tanah liat yang diambil dari kawasan yang tidak tercemar.
    "Cuma perlu cari tanah yang bersih yang tidak bercampur pasir. Kemudian ditumbuk dan dipadatkan sehingga membentuk seperti bongkah segi empat.
    "Seterusnya kikis bongkah itu dan bentuk menjadi gulungan. Gulungan itu kemudian dibakar dan diasapkan selama sejam. Selepas itu ia sedia dimakan sebagai snek," kata Rasima.
    Biasanya, Rasima menjual makanan tersebut di pasar sekitar rumahnya dan mampu memperoleh pendapatan sebanyak 20,000 rupiah (RM6.80) sehari, cukup untuk menyara keluarganya.
    Biarpun tidak popular, ampo terus menjadi pilihan ramai penduduk kampung tersebut sebagai salah satu cara untuk menjaga kesihatan.
    Seorang peminat makanan itu yang enggan dikenali menjelaskan, dia telah memakan tanah bakar tersebut sejak kecil lagi kerana ia memberi keselesaan kepada perut dan menguatkan sistem pencernaan.
    "Saya memakan ampo dari dahulu lagi kerana ia boleh menyejukkan perut saya. Saya tidak pernah berdepan masalah sepanjang makan hidangan itu," katanya yang berusia 40-an.
    SUMBER KOSMO

    OTAK KURANG KIMIA KAWAL PERGERAKAN


    pix_middle

    SUKAR bergerak, makan dan mengganggu aktiviti harian. Itu antara simptom dialami penghidap penyakit Parkinson yang hanya mahu dikenali sebagai Christ, 72, apabila disahkan menghidap penyakit itu enam tahun lalu.

    Sejak mengetahui dirinya menghidap penyakit Parkinson, kehidupannya berubah. Tiada lagi hobi memandu yang menjadi kegilaannya disebabkan dia kini tidak mampu berbuat demikian.

    “Saat diberitahu saya menghidap Parkinson, rasa seakan-akan mahu pitam dan tidak berpijak di bumi nyata. Seumur hidup, tidak pernah terfikir akan ada penyakit ini.

    “Semuanya bermula ketika saya merasa perubahan apabila tangan sering menggeletar, malah sewaktu minum secawan teh juga tangan bergoyang.

    “Keluarga yang menyedari perubahan itu menggesa saya melakukan pemeriksaan di hospital dan ternyata doktor mengesahkan saya menghidap Parkinson,” katanya ketika ditemui pada majlis forum penyakit Parkinson di Hospital Pantai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Menurut Christ, penyakit Parkinson dialaminya memberi kesan mendalam terhadap kualiti hidup. Dia berasa rendah diri dan hilang keyakinan.

    Mujur keluarga banyak membantu dan memberi sokongan. Seingatnya juga, dia tidak mempunyai sejarah penyakit Parkinson tetapi doktor yang ditemui menyatakan, penyakit ini boleh menyerang sesiapa saja tanpa mengikut genetik, malah 90 peratus penyakit ini masih tidak diketahui puncanya hingga kini.

    “Saya masih ingat peristiwa ditertawakan orang ramai yang melihat saya tidak boleh memegang sudu dengan sempurna dan menyuap makanan.

    “Sedih apabila diperlakukan begitu tetapi kini saya sudah biasa dan lali. Saya tidak peduli apa orang mahu kata kerana paling penting, saya turut mempunyai hak seperti individu normal lain,” katanya bersemangat.

    Parkinson adalah penyakit degenerasi otak di mana berlakunya kekurangan dopamine dalam otak. Dopamine ialah bahan kimia yang diperlukan untuk mengawal pergerakan badan yang lancar.

    Ia muncul pada semua bangsa di dunia, malah tidak kira lelaki atau perempuan. Meskipun gejala ini biasa berlaku di kalangan warga tua, 10 peratus daripada pesakit mula menghidapnya pada usia 45 tahun.

    Perunding Neurologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Sng Kim Hock, berkata penyakit Parkinson diketahui sejak 1817.

    Ketika itu doktor berbangsa Inggeris, James Parkinson menamakannya sebagai Shaking Palsy tetapi kemudian ia dikenali sebagai Parkinson.

    “Walaupun diketahui kewujudannya sejak sekian lama, tiada siapa tahu sebab sebenar serangan Parkinson. Ia adalah penyakit yang tidak boleh sembuh.

    “Begitupun, dunia perubatan secara amnya bersetuju Parkinson terjadi kerana tahap dopamine rendah di dalam otak. Namun, penyebab sebenar mengapa substantia nigra yang menghasil dopamine rosak dan mati tidak diketahui.

    “Sesetengah pakar perubatan mengaitkannya dengan perubahan gen tertentu dalam individu itu sendiri sebagai puncanya. Ada juga yang mengaitkannya dengan pengaruh persekitaran,” katanya.

    Meskipun ia boleh diwarisi secara genetik dan meletakkan sesetengah orang dalam kumpulan berisiko, serangan Parkinson tidak boleh dicegah. Ini kerana tiada rawatan atau ubat untuk melawan penyakit itu.

    Semua warga tua, sama ada lelaki atau perempuan berumur melebihi 60 tahun, mempunyai risiko sama mendapat Parkinson dengan nisbah dua kes bagi 1,000 penduduk, dan dianggarkan sekitar 10,000 rakyat Malaysia menghidapinya.

    Kajian mendapati lima peratus pesakit mula diserang Parkinson sebelum mencecah umur 40 tahun. Malah, dianggarkan jumlah pesakit melonjak dalam tempoh 10 tahun berdasarkan jangka hayat penduduk yang semakin panjang.

    Sehingga kini penawar Parkinson belum ditemui. Ubat di pasaran hanya mampu mengawal dan meredakan gejala penyakit. Keadaan pesakit akan bertambah berat dari setahun ke setahun, walaupun sudah mendapat rawatan. Selepas lima tahun, pergerakan pesakit semakin perlahan dan sukar.

    Keadaan Ini menyebabkan ramai pesakit hilang harapan untuk hidup, sedih dan tertekan. Pun begitu, mereka tetap perlu mengambil ubat. Keberkesanan ubat biasanya berkurangan selepas lima tahun.



    Gejala
  • Tangan, kaki atau badan menggeletar
  • Masalah pergerakan tidak normal (dyskinesia)
  • Kepala, tangan dan kaki bergoyang seperti menari
  • Serangan bermula pada sebelah badan
  • Penyakit bertambah buruk jika pesakit mengalami tekanan perasaan
  • Tekanan darah akan lebih tinggi


    Rawatan
  • Pengambilan ubat seperti madopar dan sinemet bukan saja penting bagi mengawal gejala menggeletar, bahkan mampu memberikan kualiti kehidupan lebih baik kepada pesakit untuk menjalani rutin harian.
  • Pesakit yang tidak mendapatkan rawatan lebih cepat, menemui ajal kerana komplikasi lain termasuk mudah diserang penyakit lain seperti jangkitan paru-paru atau terjatuh akibat tiada keseimbangan badan.
  • Kaedah rawatan terbahagi kepada dua, iaitu am dan khusus. Rawatan am termasuk memberi sokongan moral, fisioterapi (senaman menguatkan otot dan pergerakan badan yang lancar) serta amalan pemakanan seimbang bagi mengekalkan kekuatan otot dan anggota badan.


    Rawatan khusus pula membabitkan dua jenis pembedahan iaitu rangsangan otak dalaman dan pembedahan otak pallidotomy.

    Pembedahan rangsangan otak dalaman, iaitu penanaman bateri khas di bawah kulit dada, bertujuan memberi rangsangan kepada otak melalui elektrod halus yang disambungkan ke dua bahagian di otak, iaitu subthalamic nucleus (STN) atau globus pallidus interna (GPI) yang terlalu aktif hingga mendatangkan kesan menggeletar.

    Aliran elektrik pada satu atau kedua-dua bahagian ini akan membantu menyembuhkan pesakit daripada gejala secara serta-merta.

    Pembedahan otak pallidotomy pula membabitkan sinaran thermal (haba) yang akan mengurangkan keaktifan globus pallidus interna (GPI).


    Sumber: Laman web rasmi Persatuan 


    FAKTA

    Penyakit Parkinson tiada penyembuh. Ia hanya boleh dikawal dengan ubat supaya pergerakan pesakit pulih dan tangan tidak menggeletar. Daripada setahun ke setahun, gejala makin bertambah. Pengambilan ubat pula bermula sehari dua kali bertambah hingga empat kali sehari.

    Simptom Parkinson biasanya muncul dua tahun sebelum didiagnos. Penghidap hanya mengetahui dia diserang Parkinson apabila tangannya menggeletar dan pergerakannya terjejas.

    Selain pelakon Michael J Fox, penyakit Parkinson turut dialami legenda tinju, Muhammad Ali dan bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat.


  • SUMBER METRO

    40 ORANG HINDU BUTA AKIBAT MERUNTUHKAN MASJID

     

    Ingatkah kita kepada Masjid Babry yang dirobohkan oleh orang Hindu di India. Rupanya , selepas perobohan tersebut ada peristiwa yang aneh berlaku kepada mereka yang merobohkannya rumah Allah ini. Bacalah.

    Sekitar 40 orang Hindu yang terlibat dalam serangan keji ke atas Masjid Babry untuk merobohkannya pada tanggal 6 Desember 1992,telah mendapat buta setelah gagal diubati walaupun dirawat oleh doktor-doktor pakar terkenal di India.

    Berita ini diketahui melalui laporan yang dihebahkan oleh akhbar Anshary Express yang diterbitkan di India. Akhbar itu memberitahu propaganda umat Hindu untuk merobohkan masjid tersebut turut disertai sejumlah besar orang-orang Hindu ekstrem dari berbagai pelusuk India. Mereka sebelumnya telah lama mendapatkan latihan untuk tujuan itu.

    Akhbar tersebut juga menyatakan 31 orang yang buta itu tinggal di satu komplek di kota Maharinor. Sebelumnya , mereka pernah melakukan usaha merobohkan masjid tua milik umat Islam itu namun belum berhasil.

    Sekarang setelah masjid ini dirobohkan, kumpulan yang buta ini bergantung hidup kepada bantuan yang diberikan organisasi-organisasi Hindu. Selain 31 orang, terdapat 9 orang lain yang merupakan anggota organisasi Gazy Boora di Atar Pradesh turut hilangan penglihatan mereka atau buta setelah terlibat sama merobohkan Masjid Babry.

    Berdasarkan laporan akhbar tersebut, mereka yang buta menyesali tindakan tersebut dengan menyatakan bahwa tuhan-tuhan mereka telah murka terhadap mereka kerana telah merobohkan Masjid Babry. Menurut mereka, kebutaan yang mereka alami itu tidak lain adalah sebagai balasan dari tuhan-tuhan mereka itu .

    Menurut klaim/wakil mereka, salah seorang waris dari orang-orang tersebut menyebutkan, anak lelakinya memang telah mendapatkan latihan khusus untuk turut serta dalam tindakan merobohkan masjid itu namun ia mengaku belum mengetahui identiti pihak yang telah melatih anak lelakinya itu.

    Penduduk setempat terutama yang berada di kawasan sekitar Masjid Babry berkeyakinan bahawa dengan tindakan perobohan tersebut itu mereka telah melakukan dosa besar.Sebab itulah, balasannya mereka menjadi buta.

    Sekali pun kejadian ini sudah lama, tetapi mudah-mudahan menjadi pengajaran. Kehilangan penglihatan mereka / buta merupakan azab dari Allah ke atas mereka.Tindakan meroboh Masjid Babry jelas sekali amat besar dosanya.

    DIHUKUM MATI KERANA MENYANYI DAN MENARI

        


    ISLAMABAD: Empat wanita dan dua lelaki dijatuhi hukuman mati di utara Pakistan kerana menyanyi dan menari dalam satu majlis perkahwinan. 

    Pemimpin agama mengeluarkan satu perintah selepas rakaman telefon bimbit menunjukkan enam tertuduh bersuka ria dalam kejadian di sebuah kampung pedalaman di daerah pergunungan Kohistan, 176 kilometer ke utara ibu negara Islamabad.
    Pihak berkuasa Pakistan di kawasan terbabit berkata ulama tempatan mengarahkan hukuman terhadap lelaki dan wanita terbabit yang didakwa, perbuatan menyalahi adat tempatan puak yang mengasingkan wanita dan lelaki dalam majlis perkahwinan.
    “Pemimpin agama tempatan mengeluarkan perintah menjatuhkan hukuman mati terhadap semua wanita dan lelaki yang dirakamkan video berkenaan,” kata pegawai polis daerah, Abdul Majeed Afridi, semalam. 

    “Mereka memutuskan bahawa lelaki terbabit akan dibunuh terlebih dulu, tetapi tertuduh sempat melarikan diri jadi wanita yang dituduh selamat setakat ini. 

    “Saya menghantar satu pasukan menyelamatkan mereka dan menunggu berita selanjutnya,” katanya sambil menambah bahawa wanita terbabit dikurung di rumah mereka. 

    Afridi berkata, permasalahan itu berpunca daripada satu pertikaian membabitkan dua pihak dan tiada bukti menunjukkan bahawa lelaki dan wanita terbabit bergaul bebas. 
    “Semua tertuduh dilihat menerusi rakaman berasingan dalam video berkenaan. Saya melihat rakaman yang diambil daripada telefon bimbit saya sendiri, menunjukkan empat wanita menyanyi dan seorang lelaki menari dalam adegan berasingan manakala rakaman lain menunjukkan seorang lelaki lain duduk,” katanya. – AFP

    WAKTU SOLAT