ISLAM merupakan agama rahmat untuk seluruh manusia tanpa mengira agama, latar belakang dan keturunan, kaum dan puak, bangsa, warna kulit dan sebagainya. Sesungguhnya, Allah Taala telah berfirman dalam Surah Asy-Syu'ara ayat 196 yang bermaksud, "Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam".
Daripada keterangan ayat Allah Taala itu, kita jelas dan dapat memahami bahawa Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah Taala untuk memberi petunjuk, belas kasihan, rahmat dan kasih sayang untuk sekalian umat manusia. Dalam konteks rahmat yang cukup luas ini, Rasulullah SAW selalu menyeru umat Islam supaya 'Husnul Dzon' atau terjemahan bahasa Arabnya kepada bahasa yang boleh kita fahami adalah berprasangka baik kepada semua manusia dalam segenap urusan, hal dan pekerjaan yang kita lakukan dalam seharian.
Mengikut firman Allah Taala dalam Surah At-Tin ayat 4 yang bermaksud, "Sesungguhnya kami (Allah) telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."
Melalui keterangan ayat Allah Taala ini cukup jelas menyatakan bahawa manusia ini adalah sebaik-baik ciptaan, suci dan bersih seperti mana ungkapan yang selalu kita dengar suci ibarat 'bayi yang baru dilahirkan daripada rahim ibunya'. Apa yang menjadi cemar dan kotor di sini adalah perbuatan salah dan melanggari syariat agama Islam yang dilakukan oleh manusia itu sendiri.
Pada hakikatnya, semua manusia itu suci dan bersih, perbuatan yang dilakukannya itu disifatkan cemar dan kotor. Maka, Islam telah menggariskan panduan bahawa kita tidak boleh membenci seseorang manusia itu kerana zahir luaran dan bentuk fizikalnya, kita diharuskan membenci perbuatan salah dan melanggari syariat yang dilakukannya.
Melalui penjelasan dan keterangan yang lain pula, Islam tidak sama sekali menyuruh kita membenci si pelaku dosa, sebaliknya Islam menyuruh kita bersangka baik kepadanya dan menyeru serta mendidiknya kepada jalan dan kaedah yang terbaik dan benar mengikut lunas al-Quran dan al-Hadis.
Hal ini kerana tiada 'tiket' dalam Islam yang memberikan kita hak mencaci, memaki- hamun, mengherdik dan merendah-rendahkan martabat manusia akibat perbuatan salah dan dosa yang dilakukanya atas nama agama.
Islam hanya menyuruh umatnya melakukan kebaikan semata-mata, dan tidak sama sekali menyuruh umatnya mempalitkan serta menyelitkan unsur keburukan dan penjanaan sifat negatif itu 'dihalalkan' dalam aspek kebaikan.
Sesuailah dengan firman Allah Taala dalam Surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud, "Tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan takwa dan jangan tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan."
Dalam konteks bersangka baik kepada manusia, kita berkonsepkan Amal Makruf Nahi Mungkar. Ia bermaksud kita mempraktikkan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Rasulullah SAW selalu menasihati kita supaya mencegah kemungkaran hanya setakat pandangan mata kasar kita saja.
Kita tidak boleh sesekali mengintip dan mencari-cari salah laku, keaiban dan kemungkaran yang dilakukan oleh manusia dan sesungguhnya perbuatan ini amatlah ditegah dalam Islam.
Prasangka baik kita yakni pemikiran positif kita dalam melihat kepelbagaian corak tingkah laku dan perangai manusia melalui sudut tanggapan dan perspektif positif tidak akan tercapai sama sekali jika prasangka buruk itu didahulukan.
Islam bukanlah sebuah agama yang mengajar umatnya tajassus (mengintip), menjaga tepi kain orang atau mengintip aib, perbuatan yang memalukan dan salah laku orang lain.
Islam menyuruh kita mencegah perkara maksiat yang nampak terang dan jelas zahirnya di hadapan mata kasar saja dengan menasihati atau menegur terlebih dahulu dengan cara berhikmah dan bijaksana, bukan terus menghukum tanpa mendidik.
Islam tidak menyuruh kita mengintip kesalahan atau aib orang sehingga ke dalam rumah. Jika seseorang itu telah melakukan maksiat sekali pun (secara terbuka atau tertutup), kita mesti membendung dan menutup aib maksiat yang telah dilakukan olehnya daripada diketahui oleh orang lain.
Sebaik-baik hal adalah menutup keburukan orang lain, bukan menjaja cerita perihal hal buruknya kononnya ingin dijadikan sebagai pengajaran buat kita semua. Ini cara yang tidak 'bermoral'. Dan jangan pula kita mendedahkan aib kita sendiri kerana sesungguhnya orang yang waras akan mengunci rapat keaiban dirinya sendiri. Maka, di sinilah peranan mendahulukan bersangka baik kepada manusia memainkan peranan paling utama.
Dr. Yusuf Al-Qaradawi sendiri menyatakan dalam kitabnya Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, tiada seorang pun mempunyai hak sewenang-wenangnya untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyi. Terutamanya maksiat hati seperti riak, kemunafikan, kesombongan, dengki, kikir dan lain- lainnya.
Sekalipun agama menganggapnya sebagai dosa besar, namun tidak dibantah selagi tidak zahir dalam bentuk amalan. Sebabnya ialah kita diperintahkan untuk menghakimi manusia apa yang kita nampak. Ada pun hal-hal yang tersembunyi kita serahkan kepada Allah Taala.
Bertepatan dengan firman Allah Taala dalam Surah Al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani".
Beginilah keindahan dalam agama Islam. Islam mengajak manusia 'memasuki' dan menghayati ajarannya dengan cara yang baik dan mulia, begitu juga Islam mengajak manusia mencegah perkara mungkar dengan cara baik dan mulia juga.
Dan cara untuk memperolehi keindahan dalam agama Islam itu tidak lain hanya melalui prasangka baik dan positif kita terhadap manusia bertunjangkan dua panduan utama, al-Quran dan hadis. Baiknya sangkaan positif kita itu kepada manusia, maka baiklah keadaan dan situasi orang sekeliling dalam hidup kita.
Pemikiran minda yang sihat dan selalu positif sebeginilah akan menjadikan masyarakat dunia secara keseluruhannya aman, makmur dan sejahtera.
No comments:
Post a Comment