Blogger Widgets

salam

Tuesday, 3 July 2012

ORANG YANG BERLAGAK ITU SEBENARNYA LEMAH



Dalam kehidupan bersosial atau bermasyarakat, kita tidak akan lari dari terjumpa atau berjumpa dengan individu atau mempunyai kawan yang suka membesar-besarkan diri sendiri, pendek kata suka berlagak atau sombong. Ciri-ciri yang biasa kita nampak ialah mereka ini suka bercakap besar atau berdegar-degar, suka memperlekehkan orang lain, mengkritik dengan tujuan untuk menjatuhkan seseorang, memuji diri sendiri, bersikapdefensive, suka berbohong, tidak suka menerima pandangan orang lain, selalu menceritakan sesuatu yang diidam-idamkannya walaupun perkara itu mustahil untuk dicapai, suka mengawal orang lain dan cepat marah.

Apabila kita berdepan dengan individu sebegini, kebiasaannya hati kita akan terdetik mengatakan “asyik-asyik nak dengar cakap dia je!”,”dia ingat dia seorang je ke yang betul?”, “sikit-sikit nak marah orang!”. Memang tidak dapat dinafikan, sikap dan tingkahlaku seseorang yang berlagak dan suka marah-marah ini akan memberi impak psikologi terhadap emosi dan pemikiran kita samada secara langsung ataupun tidak.

Orang yang berlagak itu pada hakikatnya mereka adalah tergolong dalam golongan orang yang lemah. Oleh kerana, antara ciri-ciri orang yang berlagak itu adalah suka memarahi orang lain terutama di depan khalayak ramai, maka telah disebut dalam satu hadith yang bermaksud; Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling kuat bukanlah orang yang tidak dapat dikalahkan oleh orang lain, tetapi orang yang paling kuat adalah orang yang dapat menguasai dirinya ketika ia sedang marah.” Hadith Riwayat Muslim – 4723

Berdasarkan konsepsi hadith ini, jelas menunjukkan bahawa seseorang yang tidak mampu mengawal marahnya adalah merupakan orang yang tidak kuat atau lemah.

Dalam ilmu psikologi, orang yang berlagak itu sering menggunakan salah satu teknik self-presentation iaitu intimidation samada secara sedar mahupun tidak. Intimidation atau intimidasi digunakan untuk membangkitkan rasa takut pada orang lain dengan membentuk imej sebagai individu yang digeruni supaya orang lain mengikutinya. Tambahan itu, intimidasi juga boleh digunakan secara positif atau pun negatif berdasarkan kepada situasi dan tujuan tertentu. Jika seseorang itu menggunakan teknik ini ke arah yang negatif maka akan jadilah ia seorang yang berlagak sombong, suka marah-marah, bengis, merasakan diri bagus dan yang akhirnya akan menjerumuskan dirinya ke arah kehancuran.

Persoalannya, bagaimana caranya untuk kita menghadapi individu seperti ini? Terdapat beberapa cara antaranya ialah bersikap tenang beserta senyuman ketika menghadapinya, cuba sedaya upaya untuk tidak terkesan dengan kata-kata yang dilontarkan oleh mereka dengan cara berfikir secara rasional, siapkan hujah yang bernas dalam fikiran tetapi jangan berdebat, biarkan mereka meluahkan segala-galanya apa yang ingin diperkatakan, elakkan dari terpengaruh dengan gaya komunikasi dan tuturkata mereka dan sama sekali jangan beremosional.

Selain itu, antara kelemahan orang yang berlagak ini ialah mereka sering mengungkapkan sesuatu yang tidak rasional dan memutarbelit sesuatu perkara. Mengapa perkara ini berlaku? Hal ini terjadi kerana minda mereka sudah dipengaruhi oleh nafsu, maka akal sudah tidak lagi berfungsi untuk berfikir secara positif. Oleh sebab itu, mereka tidak boleh menerima pandangan dan sering menyalahkan orang lain.

Dari aspek perubatan Thibbun Nabawy, Ibnu Qayyim Al Jauziyyah menyebut bahawa penyakit itu terbahagi kepada dua iaitu penyakit fizikal dan hati. Justeru, orang yang berlagak ini boleh dikategorikan sebagai orang yang mengalami penyakit hati yang kronik.  Allah SWT telah berfirman di dalam Al Quran Surah Al Baqarah ayat 10 yang bermaksud: “Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.” 

Konklusinya, apa yang paling penting adalah bukan kita hanya sekadar melihat akan perilaku orang lain, tapi sentiasa bermuhasabah diri, apakah kita ini termasuk dalam golongan orang yang berlagak dan lemah ini? Bagi mengelakkannya, hendaklah kita belajar berfikir secara rasional dan tidak emosional, senyum selalu, menilai kelemahan diri sendiri atau bersifattawaddhu', menanamkan sifat kehambaan kepada Allah SWT, janganlah kita menganggap apa yang kita fikir betul kesemuanya, bersedia untuk dikritik, menghormati pendapat dan terimalah nasihat serta pandangan orang lain.


Al faqir ilallah;
HISHAM MOHAMAD

No comments:

Post a Comment

WAKTU SOLAT