Blogger Widgets

salam

Saturday, 26 May 2012

KESAN BURUK DUDUK KAKI BERSILANG


BARU 15 minit duduk di kerusi, Aqilah berasa letih lalu menukar posisi duduk dengan menyilangkan kaki dengan kedudukan kaki kanan di atas kaki kiri. Selepas beberapa minit, dia menukar posisi lagi dengan kaki kiri pula di atas kaki kanan.
Situasi begitu bukan hanya dialami Aqilah seorang. Sebenarnya, ramai juga mempunyai tabiat gemar duduk bersilang, terutama yang bekerja di pejabat.
Tidak kurang juga yang menganggap duduk bersilang boleh menyebabkan tulang belakang bengkok, seterusnya menyebabkan kesukaran bergerak.


Pakar Perunding Ortopedik dan Trauma Pusat Perubatan Tropicana, Dr Joseph Yap, berkata perbuatan menyilangkan kaki bukan penyebab kepada tulang belakang bengkok atau sakit, sebaliknya ia hanya memberi tekanan kepada beberapa anggota badan yang mungkin menyebabkan aliran darah tidak lancar. 



“Ramai berpendapat keadaan itu bahaya tetapi sebenarnya, ia hanya mendatangkan rasa kurang selesa pada otot dan saraf, selain lenguh.
“Benar, ia akan menimbulkan rasa sakit atau ketegangan pada tubuh tetapi hanya sementara dan akan hilang dalam tempoh singkat.


“Individu normal hanya akan bersilang kaki dalam tempoh 10 hingga 15 minit, selepas itu otak akan memberi isyarat supaya menukar kedudukan, sebaliknya disebabkan sudah letih,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu, baru-baru ini.


Pun begitu, secara amnya, kecederaan jangka masa panjang hanya boleh berlaku apabila otak tidak memberi tindak balas dalam tempoh dua jam.


Selain itu, kerosakan pada saraf skiatik juga boleh berlaku jika tekanan luar biasa terjadi.


“Biasanya, perbuatan duduk dengan menyilangkan kaki berkali-kali hanya menyebabkan sakit belakang. Ketidakseimbangan daya tarikan otot boleh menyebabkan tulang belakang bengkok sementara. Ini yang dipanggil ‘sciatic scoliosis’.


“Apabila posisi kaki kanan di atas kaki kiri, tulang punggung dan betis dalam keadaan tidak sama rata di mana pinggul kiri lebih tinggi, menyebabkan otot di antara tulang rusuk dan tulang pelvis menjadi lebih pendek berbanding sebelah kanan.


“Masalah sakit belakang juga sering berlaku kepada individu yang kurang melakukan senaman. Justeru itu, bagi mendapatkan kehidupan lebih bermakna dan sihat, senaman adalah langkah terbaik,” katanya.

Tip duduk dengan betul


  • Pastikan anda duduk menghala ke depan. 
  • Jangan duduk pada bahagian hujung kerusi. 
  • Duduk sama aras antara atas dan bawah kerusi. Jangan terlalu rendah atau tinggi. 
  • Apabila duduk, pastikan siku dekat dengan badan. 
  • Elak duduk di kerusi yang tiada penghadang (kerusi bulat). 
  • Amalkan duduk di kerusi yang mempunyai penyokong belakang badan.


  • No comments:

    Post a Comment

    WAKTU SOLAT