Blogger Widgets

salam

Thursday, 24 May 2012

AMALAN IBADAT WAJIB,SUNAT BOLEH HAPUSKAN DOSA UMMAH



ABUL A'la Al-Maududi dalam bukunya Asas-Asas Islam mendefinisikan ibadat sebagai "....taat, tunduk dan merendah diri kepada Allah. Jelasnya, ibadat ialah pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah". 

Mirip dengan definisi itu, ahli tafsir At-Tabari menyatakan: "Khusyuk kepada Allah, merendah diri dan tetap hati kepada-Nya." 

Dua pengertian itu, dapatlah dirumuskan bahawa ibadat ialah menghambakan diri semata-mata kepada Allah dengan mengikut segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala bentuk tegahan-Nya. 

Seperti yang pernah diungkapkan Abu Urwah dalam bukunya Konsep-Konsep Umum Islam iaitu menjadikan seluruh masa dalam hidupnya dan setiap tindakannya sebagai sesuatu yang ditujukan untuk mendapatkan keredaan Allah. 

Oleh itu tidak ada ruang dalam hidupnya dan tidak ada satu pun daripada perbuatannya yang terlepas patuh mengikut ketentuan ditetapkan Allah. 

Apabila melakukan ibadat, perlu disedari hendaklah benar-benar lahir daripada lubuk hati penuh ikhlas. 

Lantaran ibadat tanpa diiringi keikhlasan, maka amalan itu menjadi hampa dan tidak bernilai di sisi Allah . 

Nabi SAW menyatakan secara tegas hal ini dalam sabda yang bermaksud: "Allah tidak menerima amalan, melainkan ikhlas dan untuk mencari keredaan-Nya." (Hadis riwayat Ibn Majah) 

Jika demikian, ikhlas bukanlah perkara ringan bahkan menjadi wajib bagi setiap amal ibadat yang dilakukan. Dalam al-Quran ada ayat yang menyentuh mengenai perintah supaya manusia melakukan ibadat. 

Firman Allah yang bermaksud: ".....dan tidak Kami utuskan sebelum kamu seorang rasul melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Abu, oleh itu beribadatlah kepada-Ku." (Surah al-Anbia', ayat 25) 

Allah berfirman lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhanmu, maka sembahlah kamu akan Aku." (Surah al-Anbia', ayat 92) 

Ibadat terbahagi kepada dua iaitu ibadat khusus iaitu ibadat yang sudah ditentukan Allah seperti solat, puasa, haji, zakat dan sebagainya, manakala ibadat umum pula iaitu semua bentuk perlakuan manusia yang mempunyai hubungan kepada Allah seperti berniaga, menjaga kebersihan, menghubungkan silaturahim, bermurah hati dan tolong-menolong. 

Setiap amalan atau pekerjaan yang kita lakukan akan menjadi ibadat dan tetap akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah. 

Dr Muhd Yusuf Al-Qardhawi dalam bukunya 'Ibadah dalam Islam' menyenaraikan kriteria pekerjaan akan menjadi ibadat: 

Hendaklah kerja itu diakui Islam, bersesuaian dengan hukum syarak dan tidak bercanggah dengan hukum. 

Dilakukan dengan niat baik bagi tujuan memelihara kehormatan diri, menyenangkan keluarganya, memberi manfaat kepada umat seluruhnya. 

Amalan itu mestilah dibuat dengan seelok-eloknya bagi menepati apa yang ditetapkan Rasulullah SAW. 

Jangan sampai mengganggu atau melalaikan daripada ibadat pokok seperti solat, puasa, zakat dan yang lainnya. 

Menjaga larangan Allah dalam kerja itu, jangan zalim, menipu dan melampaui batas.

Allah berfirman yang bermaksud: "Hadapkan mukamu untuk melaksanakan agama ini dengan patuh, sebab itulah fitrah Allah yang menciptakan manusia menurut fitrahnya. Tiada perubahan sedikitpun dalam ciptaan Allah. Demikian itulah agama yang benar, namun sebahagian besar manusia tidak mengerti." (Surah ar-Rum, ayat 30) 

Di samping itu, perlunya manusia beribadat ialah sebagai pembuktian kesyukuran di atas segala nikmat yang dicurahkan Allah. Lalu sebagai hamba sejati yang sedar, insaf serta beriman perlulah menunjukkan rasa cinta dan ketaatan dengan melakukan ibadat. 

Firman Allah yang bermaksud: "Ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu dan bersyukurlah kepada-Ku, janganlah kamu mengingkari (nikmat) Ku." (Surah al-Baqarah, ayat 152) 

Manusia yang ingin mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. perlu menjalankan segala perintah-Nya dan menghindari diri daripada perbuatan mungkar serta perkara yang dimurkai Allah. 

Hidup ini hendaklah diisi dengan melaksanakan ibadat wajib serta sunat serta meninggalkan perkara yang dilarang. 

Allah berfirman yang bermaksud: "Katakanlah: sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku semata-mata untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam." (Surah al-An'am, ayat 162)



Oleh Mohd Adid Ab Rahman

No comments:

Post a Comment

WAKTU SOLAT