PERBINCANGAN seterusnya masih lagi dalam surah al-Mudassir di mana perbahasan berkenaan dengan isu tokoh-tokoh kufur yang menentang ajaran Islam di mana balasannya cukup dahsyat pada hari akhirat kelak. Perbicaraan diteruskan pada ayat 17 hingga 30.
Firman Allah SWT: Aku akan membebaninya mendaki pendakian yang memayahkan. (al-Mudassir: 17)
Mujahid berkata: Iaitu penderitaan yang diakibatkan oleh azab.
Qatadah berkata: Dia akan dibebankan dengan azab yang berterusan.
Ibnu Jauzi berkata: Mengikut riwayat hadis Abi Sa'id daripada Nabi SAW menafsirkan ayat ini dengan sebuah gunung yang dicipta daripada api diminta untuk mendakinya apabila meletakkan tangan ke atasnya nescaya cair dan apabila diangkat kembali seperti sediakala. Pendakian tersebut memakan masa 70 tahun kemudian dicampak ke dalam api selama-lamanya.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya dia telah memikirkan dan menetapkan (apa yang ditetapkannya), (al-Mudassir: 18)
Ibnu Kathir berkata: Iaitu Kami bebani dia dengan pendakian. Dengan kata lain, Kami dekatkan dia dengan azab yang sangat berat kerana jaraknya yang sangat jauh daripada keimanan, kerana dia telah memikirkan dan menetapkan. Iaitu dia merenungkan apa yang akan dia katakan mengenai al-Quran ketika ditanyakan kepadanya, maka dia pun berfikir, ungkapan apa yang boleh dia buat.
Al-Maraghi berkata: Al-Walid ini sentiasa memikirkan dan mereka-reka sesuatu untuk dia katakan atau sifatkan tentang al-Quran, ketika diajukan pertanyaan kepadanya.
Firman Allah SWT: Maka celakalah dia! bagaimana dia menetapkan?, Kemudian celakalah dia! bagaimanakah dia menetapkan?, (al-Mudassir: 19-20)
Ibnu Kathir berkata: Doa keburukan untuknya.
Al-Maraghi berkata: Ia adalah kekaguman terhadap kekuatan fikiran dan kepintaran mencari tujuan yang dikehendaki oleh kaumnya untuk mencela al-Quran dengan celaan yang keras. Sebab perkataannya itu sesuai dengan apa yang mereka inginkan dan sesuai pula dengan apa yang mereka angankan untuk mencela al-Quran dan orang yang membawanya.
Dan dia dilaknat dan diazab dalam keadaan dia mereka-reka perkataan seperti yang dikatakan dalam pembicaraan La 'adribannahu kayfa sana'. Aku pasti akan memukulnya walaubagaimanapun keadaan dia.
Firman Allah SWT: Kemudian dia memikirkan, (al-Mudassir: 21)
Ibnu Kathir berkata: Iaitu dengan pandangan mendalam dan pemerhatian yang sebenarnya.
Al-Maraghi berkata: Kemudian dia memerhatikan urusan al-Quran itu berulang-kali, mungkin fikiran dia dapat menemui apa yang mereka senangi dan sampai kepada tahap yang mereka inginkan.
Firman Allah SWT: Sesudah itu dia bermasam muka dan merengut, (al-Mudassir: 22)
Al-Maraghi berkata: Ayat di atas membawa petunjuk bahawa dia turut membenarkan tentang kejujuran Nabi Muhammad SAW dengan hatinya tetapi dia mengingkari secara 'inad. Ini disebabkan seandainya dia percaya kepada kebenaran yang disampaikan oleh Nabi SAW pasti dia akan bergembira untuk menyimpulkan apa yang disimpulkan oleh Nabi Muhammad SAW dan memahami apa yang difahami oleh baginda. Sudah tentu wajahnya tidak akan nampak muram.
Ibnu Kathir berkata: Iaitu mengerutkan dahinya dan menampakkan kebencian yang nyata.
Firman Allah SWT: Kemudian dia berpaling (daripada kebenaran) dan menyombongkan diri,(al-Mudassir: 23)
Al-Maraghi berkata: Kemudian dia memalingkan wajahnya daripada kebenaran dan berbalik ke belakang dengan perasaan sombong serta tidak mahu tunduk atau tidak mengakui kebenaran.
Ibnu Kathir berkata: Berpaling dengan sombong kerana enggan tunduk kepada al-Quran.
Firman Allah SWT: Lalu dia berkata: "(Al-Quran) Ini tidak lain hanyalah sihir yang dipelajari (daripada orang-orang dahulu), (al-Mudassir: 24)
Al-Walid mengatakan: "Al-Quran ini hanya sihir yang diambil oleh Muhammad daripada ahli sihir yang sebelumnya, seperti Musaylamah dan penduduk Babil."
Firman Allah SWT: Ini tidak lain hanyalah perkataan manusia. (al-Mudassir: 25)
Al-Maraghi berkata: Mereka mengatakan sesungguhnya al-Quran itu di ambil daripada kata-kata rekaan orang lain. Al-Quran bukan kalam Allah SWT seperti yang didakwahkan oleh Nabi SAW. Mereka juga mengatakan jika benar apa yang dikatakan Nabi SAW, tentu orang lain pun dapat berkata-kata seperti itu atau menghadapinya dengan lebih baik lagi.
Sebab, di kalangan orang Arab terdapat ramai orang yang fasih dan petah bercakap. Di kalangan orang Arab terdapat juga ahli pidato yang tidak dapat ditandingi dan terunggul. Tidak diketahui bahawa seorang intelek mahu menyaingi baginda SAW, tetapi mereka menggunakan pedang dan panah tanpa menghadapinya dengan bukti dan hujah.
PENUTUP
Syed Qutub berkata: Kita tidak tahu adakah mereka malaikat yang kasar dan keras atau barisan jenis malaikat. Ini adalah satu berita daripada Allah. Beruntunglah mereka yang mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Kita mengharapkan rahmat daripada-Nya yang melayakkan kita masuk ke syurga-Nya pada hari Akhirat kelak. Amin.
sumber utusan malaysia
No comments:
Post a Comment