Blogger Widgets

salam

Saturday, 17 March 2012

BERNIATLAH DALAM SETIAP PEKERJAAN


 
Secara realitinya tidak ada satu pun perbuatan yang dilakukan manusia melainkan tersemat di dalamnya suatu unsur yang mendorong dirinya untuk melakukan perbuatan tersebut. Dorongan yang tersemat di dalam hati inilah, yang boleh dikatakan mesti wujud dalam setiap perbuatan manusia, diertikan sebagai niat.

Justeru, niat secara mudahnya bermakna faktor utama yang mendorong serta menggerakkan seseorang melakukan sesuatu perbuatan. Ini perlu difahami bahawa faktor pendorong (niat) ini akan tetap ada sekalipun seseorang itu tidak melafazkannya.

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr Rushdi Ramli berkata, niat memainkan peranan teramat besar dalam Islam. Menurutnya, tanpa niat, perbuatan ibadat dan amal kebajikan yang dilakukan menjadi sia-sia dan tidak mendapat sebarang balasan pahala di sisi ALLAH.

Niat yang salih bermaksud melakukan apa-apa yang diperintahkan ALLAH atau meninggalkan perbuatan dilarang-Nya. Ini kerana menuntut keredaan-Nya di dunia dan di akhirat serta atas dorongan ingin mendekatkan diri kepada ALLAH.

“Niat tersebut diistilahkan sebagai ikhlas. Ia sebagai dorongan salih dan sejahtera dalam mengharapkan sesuatu yang lain daripada keredaan ALLAH dan ganjaran di akhirat, dan bukannya seperti mengharapkan sanjungan dan pujian daripada manusia,” kata Rushdi.

Beliau menambah, memandangkan niat merupakan paksi yang mendasari setiap perbuatan manusia dan neraca yang menentukan status sesuatu perbuatan, sama ada perbuatan itu dapat diterima sebagai ibadat di sisi ALLAH atau pun tidak.

Oleh itu, Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya agar sentiasa memurnikan dan menghadirkan niat yang suci di dalam perbuatan mereka, khususnya perbuatan yang melibatkan beribadat kepada ALLAH seperti sembahyang, berpuasa dan menuntut ilmu,” katanya kepada Sinar Harian.


Utuhkan rohani

Rushdi berkata, selain daripada maksud mengharapkan keredaan ALLAH, seperti yang dinyatakan di atas, niat yang salih juga menurut Islam bermaksud melakukan sesuatu perbuatan atas dorongan dan niat untuk merealisasikan tujuan murni yang dikehendaki dan dicintai oleh ALLAH.

“Sebagai contoh yang mudah perbuatan seumpama makan, minum, bersukan dan tidur adalah dianggap sebagai perbuatan seharian yang tidak wujud di dalamnya elemen ibadah. Namun sekiranya seseorang Muslim itu melakukan perbuatan tersebut dengan disertai niat suci untuk memelihara dan memantapkan kesihatan dirinya adalah sebahagian daripada tuntutan agama, maka perbuatan tersebut dianggap suatu ibadat yang pelakunya akan diberikan ganjaran pahala,” ujarnya.

Ternyata pentingnya niat yang murni dan salih menurut Islam, iaitu tidak hanya terbatas di dalam melakukan amal ibadah malah turut merangkumi amalan seharian.

“Pendek kata, amalan seharian seperti makan, minum dan bersukan akan memiliki nilai dan impaknya yang berbeza menurut Islam, ekoran daripada kepelbagaian niat dan dorongan yang tersemat di dalam hati pelakunya,” jelasnya.

Rushdi menjelaskan bahawa menurut Islam, niat yang mendasari sesuatu perbuatan akan memberikan kesan dan impak yang langsung terhadap keutuhan rohani pelakunya. Seseorang Muslim yang menjamah makanannya kerana ALLAH dan bagi menunaikan hak jasadnya, perbuatan makannya itu tanpa disedari akan memantapkan lagi keutuhan rohaninya dan membersihkan jiwanya, iaitu berbeza dengan sesiapa yang menjamah makanan atas dorongan hawa nafsu semata-mata.

“Sifat makan kerana nafsu semata-mata akan mencemari rohani seseorang. Menurut penjelasan ulama, golongan yang dipanggil al-muqarrabin (golongan mukmin yang dihampirkan kepada ALLAH) teramat menitikberatkan kehadiran niat yang salih di dalam setiap perbuatan mereka. Golongan tersebut seandainya niat yang salih itu tidak dapat dihadirkan maka adalah terlebih baik perbuatan itu ditinggalkan,” ujarnya.
 
Lafaz niat

Beliau yang juga penulis Karya Bestari berkata, begitu juga kepentingan niat di dalam Islam dapat dilihat dengan memahami bahawa niat salih yang dipelbagaikan akan dapat mempergandakan lagi ganjaran pahala sesuatu amalan.

Seseorang yang menunaikan solat di masjid dengan merangkumkan pelbagai niat salih seperti ingin menuntut ilmu, ingin bersilaturahim sesama rakan, ingin bertafakur selepas solat dan sebagainya, percambahan niat ini akan dapat memperbanyakkan lagi pahala di dalam sesuatu perbuatan itu.

Dalam konteks melaksanakan amal ibadat khusus kata Rushdi, seperti mengerjakan solat dan melaksanakan Rukun Haji apabila seseorang itu bersiap sedia secara berdiri atau bergerak untuk menunaikan ibadat tersebut serta mindanya telah terfokus kepada jenis ibadat yang akan dilakukan.

Secara realiti, niat telah pun hadir di dalam dirinya walaupun mungkin secara luarannya dia belum lagi melafazkan niat.

“Andainya terlupa untuk melafazkan niat melalui lidahnya, ibadat tersebut adalah dikira sah kerana secara realitinya niat telah pun hadir sebelum dia melakukan amal ibadat itu kerana niatlah elemen yang menggerakkan dirinya ke tempat ibadat.

“Tidak menjadi kesalahan untuk melafazkan niat sesuatu ibadat, sebagaiaman diajar selama ini di dalam pengajian fiqh di negara ini. Melafazkan niat itu pastinya memantapkan lagi konsentrasi jiwa dan fikiran individu itu terhadap ALLAH dan terhadap jenis ibadat yang akan dilaksanakan pada saat itu.
"

No comments:

Post a Comment

WAKTU SOLAT