Blogger Widgets

salam

Thursday, 14 June 2012

PRASANGKA BURUK MAKAN DIRI


HATI manusia tidak dapat dikawal untuk mereka fikir, kata dan tuduh apa saja. Itu semua di luar jangkaan kita. Ilmu dan kehendak mereka itu kemudian akan menghasilkan tindakan dan pelbagai tindak-tanduk.

Jika baik hati mereka, maka baiklah cakap mereka, baiklah layanan dan sangkaan mereka. Tetapi jika hati kotor, apa lagi tindakan akan diterjemahkan segala hitam yang bersarang di hati itu. 

Sebenarnya yang mengukur baik dan buruk seseorang bukannya manusia kerana mereka tidak mempunyai kuasa melakukannya.

Yang paling mengetahui apa yang ada dalam hati kita ialah Allah. Dialah yang menilai kebaikan kita, memberi rezeki serta memberi kehidupan kepada kita.

Manusia memang suka bersangka-sangka. Apa lagi sangkaan yang buruk. Hati, akal dan mata selalunya tidak seiring.

Mata melihat, otak memproses manakala hati mentafsir. Contohnya, jika hati yang berbaur dosa dan dengki akan mentafsir kecantikan seseorang, dia akan kata perempuan itu memakai susuk. 

Demikian juga apabila bercakap banyak dikata hendak tunjuk pandai. Apabila diam tidak bercakap pula dikatanya sombong. 

Memang manusia punya hak untuk bersangka. Jika yang baik punya sangka empunya diri yang untung. Hati tenang, minda damai, jiwa harmoni, disenangi dan mudah mendapat kawan. 

Jika sangkaan itu buruk, jiwa pastinya akan sengsara. Banyak fikir mengenai orang, darah pun naik. Pendek kata semua tidak kena. 

Sebab semua hal orang dia hendak fikir dan tafsir, sedangkan diri sendiri tidak difikirkan. Tabiat bersangka buruk terkena pada semua golongan tidak kira orang tua dengan cara dan kepakarannya manakala orang muda dengan kehangatannya. 

Jika kita hendak layan semua sangka buruk orang dan semua hati kita hendak jaga, alamatnya makan hatilah kita. 

Lihatlah kisah dan sejarah Luqman al-Hakim dengan anaknya yang menaiki seekor keldai. Dalam perjalanan orang kata: “Ada ke patut dua beranak naik keldai, kesian keldai tu.” Selepas itu, Luqman duduk di atas keldai dan anaknya tarik dari bawah. Orang kata juga: “Ada ke patut bapa biarkan anaknya menarik dari bawah.” 

Kemudian mereka bertukar posisi lain pula, anak naik keldai manakala Luqman pula yang tarik dari bawah. 

Orang mengata juga, anak macam itu buat ayahnya macam hamba. Justeru, cara terbaik ialah merawat kembali penyakit buruk sangka. 

Berubahlah dengan memperbaiki diri sendiri. Membaiki diri bersungguh-sungguh dengan membersihkan hati daripada sifat keji (mazmumah) kepada sifat terpuji (mahmudah). 

Perhatikan juga siapa kawan di sekeliling kita. Adakah kawan kita itu mendorong ke arah kebaikan atau keburukan? 

Jika kita dapat menewaskan nafsu jahat dalam diri sendiri, nescaya kemenangan hidup pasti berpihak kepada diri kita. 

Proses berubah jadi baik mungkin tidak semudah disangka, namun sekiranya hati dan akal sudah bertekad dan ada kesungguhan, Allah pasti permudahkan jalannya. 

Ruang untuk perbaiki diri sentiasa ada dan terbuka. Justeru, tepuk dada tanya diri. Mahu berubah atau tidak? 


Beberapa cadangan diutarakan, antaranya: 
  • Berbaik sangka dengan semua orang. Tafsirkan segala yang kita lihat secara positif.
  • Tanamkan rasa takut pada kemurkaan dan azab Allah apabila anda berprasangka buruk.
  • Sucikan hati dengan banyakkan berzikir.
  • Bersyukurlah dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.
  • Luangkan masa untuk banyak melakukan muhasabah diri.


  • SUMBER METRO


    No comments:

    Post a Comment

    WAKTU SOLAT