SHAH ALAM - Nurul Fatihah Zanery, 8, yang menghidap kanser, lebih banyak meniarap, semalam, dan tidak mampu untuk ke sekolah. Kesakitannya juga semakin serius menyebabkan kanak-kanak ini menangis hampir sepanjang masa.
Ibu kepada 3 beradik yang menghidap penyakit kronik, Adiana Othman, 34, berkata, beliau buntu memikirkan kaedah terbaik bagi mengesan kedudukan kanser sekali gus mempercepatkan pembedahan Nurul Fatihah.
"Rawatan susulan Fatihah pada 4 Julai ini. Saya tidak tahan lagi melihat keadaannya. Dia asyik menangis menahan sakit pada bahu kanannya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sebelum ini, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) tidak dapat mengesan kedudukan kanser Nurul Fatihah melalui ujian rawatan imbasan magnetik resonan (MRI) ke atas lehernya dan menyebabkan pembedahan tidak dapat dilakukan. Dalam perkembangan sama, dua beradiknya iaitu Nurul Huda, 12, dan Muhammad Amir, 11, masing-masing menghidap penyakit kanser tulang dan tiroid tahap empat menunjukkan tahap kesihatan yang tidak menentu.
"Nurul Huda ke sekolah semalam, menduduki ujian agama berperingkat, namun mengalami batuk berdarah apabila tidak dapat bertahan dengan keadaan persekitaran. Malah, batuknya semakin teruk, terutama menjelang malam,” katanya.
Katanya, Huda akan jalani rawatan susulannya pada 6 September ini. Sementara itu, Muhammad Amir yang dikatakan menggunakan sistem manual untuk buang urinnya, masih ke sekolah tanpa memakai lampin pakai buang.
"Amir juga memerlukan penjagaan khusus. Setiap kali saya cuba menahan rasa sebak dan tertekan. Perkara ini membuatkan saya semakin bingung memikirkan nasib mereka," katanya.
Katanya, Muhammad Amir dijadualkan buat rawatan susulan pada 3 Julai ini. Jumlah dana terkumpul setakat ini, meningkat kepada RM19,316.00. Sesiapa berhasrat menyumbang boleh hubungi 013-2934837 atau terus ke akaun Maybank milik Adiana 162508103642.
SINAR
No comments:
Post a Comment