Blogger Widgets

salam

Sunday, 26 February 2012

NURKILAN SOLEHAH:PENYAKIT PENGHAPUS DOSA



DIUJI dengan demam dan batuk menunjukkan ia adalah peringatan daripada Allah SWT untuk menilai hamba-Nya.
Dianugerahkan kesibukan menghimpit dan masa padat, Allah turunkan kesakitan yang seharusnya dianggap positif iaitu Allah ingin memberi kita rehat daripada aktiviti berpanjangan. 
Kedua, bertujuan menyedarkan hamba-Nya bahawa sehebat, sekuat dan aktif mana pun kita, Dia lebih berkuasa dan ia juga penghapus dosa seperti mana sabda Rasulullah SAW: Daripada Abu Said al-Khudri RA dan Abu Hurairah RA: “Tidak menimpa seorang Mukmin satu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, kesakitan dan kesedihan, malah dukacita, melainkan dihapuskan sebahagian dosanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Teringat memori jatuh sakit bersendirian ketika menuntut di bumi anbia apabila teman seperjuangan belum pulang daripada tanah air.

Terpaksa menjalani pembedahan kecil akibat ketulan kecil di mata (calaxion), bersendirian menguruskan diri tanpa ibu di sisi.

Berkat doa Maha Esa dan keluarga, syukur Dia datangkan pertolongan menerusi teman berhampiran yang menjenguk saban hari bersama bekalan makanan. Moga Allah memberkati mereka atas pertolongan itu.

Allah berfirman bermaksud: “Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan ‘kami sudah beriman’ sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah SWT mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Oleh itu, muhasabah diri, usah dicela penyakit yang datang, sebaliknya menganggap ia sebagai peringatan kerana sesungguhnya kita mudah leka dan alpa. Peringatan itu bukan bermakna diri kita diabaikan, tetapi ketahuilah hakikatnya Allah memberikan perhatian kepada hamba-Nya, bukankah ia satu kemuliaan?

Dalam menahan kesakitan, saya teringat kejadian menziarahi saudara di hospital yang membuatkan hati ini kesedihan.

Bukan kerana mereka ditimpa ujian tetapi kealpaan dan kurangnya kesedaran kenapa didatangi penyakit itu, sekali gus mengabaikan solat.

Bukankah kita diberi keringanan mengerjakan ibadat ketika sakit seperti solat duduk bagi tidak mampu berdiri, solat berbaring untuk tidak mampu duduk, bahkan solat menggunakan isyarat mata? Ini menunjukkan tuntutan itu wajib dilakukan biarpun sakit.

Kita mengadu dan meminta kepada Allah supaya disembuhkan segera penderitaan, sedangkan kita lalai, mengeluh serta mengabaikan suruhan-Nya.

Allah berfirman: “Dan apa juga bencana, kesakitan yang menimpa kamu, ia adalah daripada tangan kamu sendiri (daripada perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada masa sama dikenakan bencana dan sakit) Allah mengampunkan sebahagian besar dosa kamu.” (Surah Asy-Syura, ayat 3)

Inilah saat untuk kita merenung dan muhasabah diri atas dosa serta kesalahan dilakukan ketika sihat.

Moga rasa sakit dialami membawa kita lebih dekat kepada pencipta, banyakkan berzikir mengalunkan perasaan cinta kepada Allah.

Selain ingatan kepada pesakit, pelawat perlu mematuhi adab ketika menziarahi orang sakit, termasuk jangan terlalu lama kerana ia boleh mengganggu. Kedua, sentuh dan pegang tangannya, kemudian letakkan ke dahi seraya bertanya mengenai keadaannya.

Kemudian, doakan supaya pesakit cepat sembuh dan ceriakan penderitaan mereka dengan menceritakan kelebihan kesusahan dialami Nabi dan sahabat, sekali gus menghilangkan gelisah.

Berikan kata-kata hikmah kepada pesakit. Jangan menjamah makanan yang dihadiahkan kepadanya kerana ia mungkin menghilangkan pahala ziarah itu.

Terakhir, pelawat digalakkan membaca doa bermaksud: “Ya Allah! Hilangkanlah penyakitnya, wahai Tuhan bagi manusia sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada sembuhan melainkan sembuhan daripada-Mu juga, sesuatu sembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit”. (Riwayat at-Tirmizi)

Menyingkap kisah Nabi Ayub yang sabar diuji melalui angkara syaitan memusnahkan harta kekayaannya sehingga menjadi fakir, mencerai- beraikan keluarganya hingga bergelar sebatang kara.

Ditambah pula penyakit kulit yang teruk dan pelbagai penyakit lain hingga baginda menjadi sangat kurus, malah isteri dikasihi turut meninggalkannya lantaran termakan pujukan syaitan.

Tinggallah Nabi Ayub sendirian dalam kesakitan, namun baginda tetap tabah kerana yakin dan beriman bahawa Allah sentiasa bersamanya.

Lalu Allah berfirman: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah saja lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.
“Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit menimpanya serta Kami kurniakan kepadanya: Keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat daripada Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).” (surah al-Anbiya, ayat 83-84)
Betapa Allah mengangkat darjat hamba yang bersabar tatkala diuji kerana dugaan itu menjadi kayu pengukur ketabahan dan kesabaran kita.
Bersama-samalah kita rebut peluang ini walaupun diri menanggung derita, kerana syurga menanti kita.

No comments:

Post a Comment

WAKTU SOLAT