Selama ini mungkin kita tertanya-tanya apakah keadaannya jika ada umat Islam yang berkunjung ke kawasan paling sejuk di dunia seperti di Kutub Utara dan Kutub Selatan, bagaimana jika mahu menunaikan solat?
Hakikatnya terdapat beberapa masjid di sana yang mungkin ramai tidak tahu kewujudannya. Jika melihat pada keadaan cuaca, sememangnya agak sukar untuk didirikan sebuah masjid.
Berikut merupakan masjid-masjid yang dimaksudkan:
1. Masjid Nurd Kamal di Kutub Utara
Masjid ini terletak di bandar Norilsk di bahagian utara wilayah Siberia, di Rusia, dikatakan masjid ini dibangunkan oleh seorang lelaki daripada etnik Tartar, Mukhtad Mekmeyev pada 1998.
Masjid Nurd Kamal, terletak di pinggiran kota Norlisk, yang suhunya boleh mencecah sehingga -50 darjah Celsius. Daerah ini dilanda salji sekitar 270 hari dalam setahun dan musim ribut pula adalah sekitar 130 hari.
Menurut pengurus masjid tersebut, Mukum Sidikov warga Rusia yang merantau ke daerah itu untuk mencari kehidupan yang lebih baik, terdapat lebih kurang 50,000 penduduk yang beragama Islam di daerah itu daripada jumlah keseluruhan 210,000 orang.
Kebanyakan mereka adalah imigran dari Azerbaijan dan Dagestan. Namun hanya sekitar 1,000 orang yang sering mengunjungi masjid itu untuk menunaikan ibadah. Namun kini penghijrahan penduduk Muslim ke daerah Norilsk semakin menurun berpunca daripada keadaan cuaca yang sangat buruk, kesan dari isu pemanasan global. Akibatnya, populasi di Norilsk semakin menurun bukan saja melibatkan umat Islam, tetapi kaum lain.
Golongan Muslim diterima baik oleh penduduk asal dan tidak mengalami diskriminasi.Menurut Sidikov, walaupun tidak ramai yang berkunjung ke masjid itu, beliau tetap membukanya sehingga larut malam setiap hari untuk memberi kesempatan bagi mereka yang ingin belajar al-Quran.
Apabila tiba Ramadan, orang Islam di sini terpaksa berpuasa lebih lama jika dibandingkan umat Islam di negara atau benua lain iaitu sekitar 18-20 jam sehari.
2. Masjid di Hujung Dunia (Mosque at the End of the World)
Masjid ini terletak di Bandar Inuvik, lebih kurang 200 kilometer dari Kutub Utara. Kota yang terletak di barat laut Kanada, dengan diduduki sekitar 3,700 orang dan sekitar 80 orang daripada mereka ialah Muslim. Sebahagian besarnya terdiri daripada orang Arab.Uniknya masjid ini dibina dahulu di tempat lain sebelum diangkut sejauh 4,000 kilometer melalui jalan darat dan sungai ke bandar ini.
Sebuah badan kebajikan Islam, Yayasan Zubaidah Tallah di Thompson, Manitoba membiayai kos pembelian bangunan baru seluas 140 meter persegi itu.Pada bulan Ogos 2010, masjid berwarna kuning itu mula dibawa dengan trak merentasi kawasan hutan di Barat Kanada menuju ke Sungai Hay di tebing Tasik Great Slave.
Bangunan itu kemudiannya dipindahkan ke atas sebuah tongkang yang dihanyutkan mengikut Sungai McKenzie ke bandar Inuvik, kira-kira 200 kilometer ke utara Lingkaran Artik.
Masjid ini telah dibuka secara rasmi pada 10 November 2010 sebagai keperluan untuk jemaah yang terdiri daripada imigran dari Sudan, Lebanon dan Mesir yang berhijrah untuk mencari peluang pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik.
3. Pusat Komuniti Muslim Eskimo (Antartika)
Wilayah yang dikenali sebagai tempat tersejuk di dunia ini hampir dilitupi salji sepanjang tahun dengan suhu mencecah -90 darjah Celsius pada musim sejuk dan 30 darjah lebih tinggi pada musim panas. Dikatakan terdapat kira-kira 1,000 orang tinggal di Antartika pada satu-satu masa.
Walaupun keadaan cuacanya begitu menggerunkan tetapi tetap terdapat sebuah masjid untuk digunakan umat Islam yang terdapat di sana.
Satu-satunya pusat kegiatan Islam yang terdapat di sana adalah Muslim Eskimos Community Center, yang beralamat di nombor 3, Amundsen Scott Station South Pole, Kutub Selatan, Antartika. Selain untuk beribadat, pusat ini juga digunakan bagi membantu orang yang ingin mengetahui dan mempelajari tentang Islam.
4. Masjid baru di Alaska
Kini umat Islam di Alaska yang berjumlah sekitar 3,000 sedang menanti siapnya pembinaan sebuah masjid baru dengan keluasan 70,000 kaki persegi. Ia terletak di 80th Street berhampiran Lebuh raya Old Seward di Anchorage.
Selama ini umat muslim di Alaska beribadah di sebuah surau kecil juga di Anchorage. Kos pembinaan dan pembelian tanah didapati hasil dari kutipan derma masyarakat setempat dan antarabangsa.
Dengan pemandangan indah bukit bukau di belakangnya, kawasan masjid ini akan turut didirikan pusat kegiatan masyarakat dan sekolah untuk kegunaan umat Islam di sana.
Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment